UiTM KUALA PILAH HASILKAN TEPUNG BERASASKAN KULIT PISANG

Selasa, 03 September 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/7

KUALA PILAH: Kumpulan Boting EcoGreen, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Fakulti Sains Gunaan dari UiTM Kampus Kuala Pilah berjaya menghasilkan tepung serbaguna berkhasiat tinggi.

Produk berkenaan yang merupakan hasil kajian berasaskan kulit pisang nangka, diperolehi daripada sumber tempatan iaitu kawasan sekitar Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di daerah ini.

Kumpulan seramai sembilan ahli terdiri daripada pensyarah dan kakitangan makmal itu diketuai Dr Rosli Noormi serta dibantu Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Kampus Rembau, Encik Al-Bakri Mohamed.

Menurut Dr Rosli, idea tercetus setelah mendapati penggunaan kulit pisang tidak dimanfaatkan di peringkat pelbagai lapisan malah dibuang begitu sahaja.
 
"Inovasi ini bukan saja dapat mengurangkan penghasilan bahan buangan, tapi mampu tambah nilai ekonomi dalam kalangan penjaja dan IKS yang mengguna pakai pisang sebagai bahan dalam perniagaan mereka.

"Seterusnya hasil kajian ini dipertandingkan di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pada 28 hingga 29 Ogos 2019 di UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya.
 
“Semoga produk ini dapat diketengahkan serta dipasarkan untuk kegunaan masyarakat. Kami juga akan cuba sertai pertandingan inovasi lain di peringkat kebangsaan," katanya kepada NS Daily.

Sementara itu, pengusaha IKS produk kek dan biskut, Encik Ramlan Marzuki yang berpeluang mencuba tepung berkenaan, berasa teruja selepas dimaklumkan bahawa asalnya daripada kulit pisang.

"Rasanya sedap macam produk bijirin. Memang tak sangka, rupanya tepung ini diperbuat daripada kulit pisang," katanya.

NS Daily difahamkan, tepung serbaguna berasaskan kulit pisang nangka itu boleh digunakan untuk membuat muffin; biskut; kek coklat; lempeng (pancake) dan cekodok tepung.
 
Hasil kajian secara saintifik pula menunjukkan bahawa produk itu mengandungi nutrisi yang tinggi dan sihat seperti mineral; karbohidrat; fiber serta sebatian antikanser.