8,167 MURID TAHUN SATU MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN DI NEGERI SEMBILAN

Oleh: Mohd Amin Jalil         Rabu, 02 Januari 2019 

SEREMBAN: Seramai 8,167 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di 350 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di seluruh Negeri Sembilan, tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata, adalah dijangkakan jumlah itu akan bertambah kerana kemungkinan dalam kalangan ibu bapa ada yang mendaftar lewat.

Katanya, keseluruhannya murid dan pelajar dari Tahun Satu sehingga Tingkatan 6 Atas termasuk Kolej Vokasional di Negeri Sembilan yang memulakan sesi pembelajaran adalah seramai 166,739 orang.


“Tidak ada sekolah baru yang memulakan operasi pada

tahun ini dan setakat ini terdapat 475 buah sekolah di negeri ini iaitu 350 buah sekolah rendah dan 125 buah sekolah menengah.

"Bagaimanapun ada beberapa sekolah yang sedang dalam pembinaan dan dijangka dibuka pada tahun depan antaranya SK di Taman Forest Height Senawang yang sudah 70 peratus siap, bagi menggantikan sekolah kurang murid iaitu SJKC Ladang Ulu Kanchong di Rantau yang hanya mempunyai empat murid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dusun Nyior, di sini, hari ini.

Dr Mohamad Rafie berkata, kerajaan negeri menyediakan bantuan bas sekolah menerusi belanjawan 2019, yang diumumkan Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun pada 17 Disember lalu, bagi tujuan meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah.

"Bantuan berjumlah RM50 itu membabitkan 1,500 murid dan pelajar dari keluarga terbabit," katanya.

1/3