GPS ENGGAN SOKONG PAKATAN BABITKAN DAP

Jumaat, 28 Februari 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Kredit foto: Sarawakvoice.com & Facebook GPS

1/2

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bercadang menyertai mana-mana pakatan yang bakal dibentuk dengan membabitkan DAP.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), YB Tan Sri James Jemut Masing berkata, itu antara perkara utama akan dipertimbangkan oleh pimpinan tertinggi GPS dalam memilih Perdana Menteri baharu.

Pendedahan itu dibuat ketika beliau dihubungi secara langsung menerusi program Consider This di Astro Awani pada malam tadi.

Tindakan bekas Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) apabila mengumumkan Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun, turut diambil kira dalam pertimbangan mereka.

Difahamkan, kenyataan dikeluarkan pemimpin berkenaan ketika berkunjung ke Sarawak tahun lepas, telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin tempatan.

"Kenyataan tersebut dilihat sangat tidak bertanggungjawab dan ini menunjukkan keangkuhan mereka," tegasnya.

Menerusi siaran langsung itu, James juga menyatakan bahawa yang paling penting dalam pertimbangan bakal dibuat semestinya mengutamakan kehendak rakyat dan kebaikan kepada negara.

Tambah beliau, GPS mahu Perjanjian Malaysia 1963 dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta membolehkan negeri itu mendapat perkongsian hasil minyak dan gas yang besar.

GPS dijangka mengadakan satu mesyuarat tertutup di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur esok, sebelum menyatakan pemimpin pilihan mereka sebagai Perdana Menteri baharu.