JPJ TAWAR 70 PERATUS DISKAUN

Selasa, 28 Julai 2020
Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan JPJ Malaysia

1/1

KUALA LUMPUR: Diskaun sebanyak 70 peratus ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi semua saman boleh kompaun yang dikeluarkan oleh mereka dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Tawaran ini diberikan bersempena dengan bulan kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.

"Tawaran bermula dari 1 sehingga 31 Ogos 2020 ini diberikan kepada semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Ini juga termasuk kesalahan bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334); Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam," kata Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.

Pengurangan saman ini akan dilaksanakan di semua pejabat JPJ (Negeri, cawangan dan UTC) serta saluran pembayaran lain JPJ seperti Portal mySIKAP JPJ, Kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

Bagi kesalahan yang telah disenarai hitam, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan ataupun negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dapat dilakukan.