MP BN, PAS KE ISTANA NEGARA PETANG INI

Isnin, 24 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Kredit foto: Deposit Photos

1/2

KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen BN dan PAS akan ke Istana Negara pada jam 5 petang ini bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Haji Hassan ketika ditemui di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu mendakwa, pihaknya telah memiliki jumlah ahli Parlimen yang mencukupi untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ya, kita (dah) ada jumlah yang cukup iaitu 129 (ahli Parlimen). Petang ini kami akan mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” katanya.

Ditanya sama ada semua ahli Parlimen BN dan PAS akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bersama Tun Dr Mahathir Mohamad petang ini, Takiyuddin sekadar menjawab ya.