20,000 NASKAH AL-QURAN DAN TERJEMAHAN BAKAL DIAGIHKAN 

Khamis, 23 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

KUALA LUMPUR: Sejumlah 20,000 nashah Al-Quran dan terjemahan bakal diagihkan di seluruh Malaysia melalui Pejabat Penasihat Islam Kedutaan Arab Saudi, pada tahun ini.

Agihan itu merupakan sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud.

Menurut Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di sini, Syaikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Rubai'an, pemberian itu sebagai tanda penghargaan dan kasih baginda kepada rakyat Malaysia.

Pada masa sama, menunjukkan keprihatinan baginda terhadap keperluan umat Islam di seluruh dunia dalam menggalas tanggungjawab sebagai Penjaga Dua Kota Suci, Makkah dan Madinah.

Beliau berkata, pengagihan Al-Quran cetakan Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd di Madinah itu meliputi pelbagai saiz dan terjemahan beberapa bahasa utama di Malaysia termasuk Melayu; Inggeris; Mandarin dan Tamil.

“Naskhah Bahasa Melayu diterjemahkan khas, melalui kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Sasaran agihan ini adalah badan kerajaan berkaitan hal ehwal Islam; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam; Maahad Tahfiz dan sekolah agama yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini pihaknya telah mempersembahkan sejumlah 300 nashah al-Quran kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, bersempena Majlis Penutup Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perlis Tahun 2020, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Syaikh Abdul Rahman berkata, Tuanku Syed Sirajuddin merakamkan penghargaan kepada Raja Salman dan Kedutaan Arab Saudi atas sumbangan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 500 nashah Al-Quran juga diagih kepada pelajar tahfiz di Kelantan melalui Menteri Besar, YAB Dato' Ahmad Yakob pada Majlis Graduasi Tahfiz ke-10 Yayasan Islam Kelantan.