TUN M TERIMA KUNJUNGAN PEMIMPIN HAMAS

Khamis, 23 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat daripada beberapa pemimpin Hamas yang diketuai oleh Ismail Haniyeh di Putrajaya, semalam.

Perkara itu dimaklumkan menerusi catatan di akaun Twitter rasmi beliau.

Dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri itu, Ismail merakamkan penghargaan atas usaha Dr Mahathir membawa idea segar berkenaan dunia Islam menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, pada Disember lepas.

Ismail turut menyampaikan penghargaan atas usaha dan sokongan berterusan Dr Mahathir untuk rakyat Palestin.

Menurut pemimpin Hamas itu lagi, Malaysia mempunyai kedudukan yang amat istimewa dalam dunia Islam.

"Turut dibincangkan adalah beberapa perkara berkaitan perkembangan terkini dan nasib yang menimpa rakyat Palestin," jelasnya.

Dr Mahathir sememangnya terkenal dengan kelantangannya mempertahankan Palestin, antaranya membidas keputusan Amerika Syarikat yang tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai penempatan haram.

Terdahulu pada Oktober tahun lepas, ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan, Dr Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan bagi memudahkan Malaysia memberi bantuan kepada rakyat Palestin.