HANTAR PENDATANG ASING KE NEGARA KETIGA

Khamis, 23 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

SHAH ALAM: Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB Dato' Seri Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya pendatang asing di negeri itu dihantar ke negara ketiga, jika mereka tidak diterima negara asal.

 

Menurutnya, isu tersebut mendapat perhatian utama rakyat Sabah ekoran sudah berlarutan sejak puluhan tahun dan rakyat mahukan penyelesaian secara komprehensif daripada kerajaan.

Menurutnya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang diterajuinya akan menghantar satu cadangan kepada kerajaan bagi memastikan pendatang asing tidak boleh menceroboh sempadan negara.

“UPKO sentiasa konsisten. Kami mahu halau semua pendatang asing di Sabah. Masalah berterusan dihadapi adalah pendatang asing yang memiliki kad pengenalan.

“Ada antara mereka dah pun berdaftar dengan sistem. Malah ada yang boleh mengundi dalam beberapa pilihan raya seperti didedahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2013,” katanya seperti dilapor Sabah News Today, tempoh hari.

Wilfred berkata, hasrat kerajaan memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PPS) adalah mulia, namun sentimen rakyat Sabah menentangnya.

"Hari ini kita hidup dengan akibat daripada tindakan dan keputusan dibuat oleh pemimpin lama yang tak bertanggungjawab.

"Sekarang kita lihat dan dengar (sendiri), sentimen yang semakin meningkat dalam menentang cadangan kerajaan memperkenalkan PSS," katanya.