PELAKSANAAN PSS DIBATALKAN

Khamis, 23 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah membatalkan keputusan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS), selaras dengan kehendak dan suara rakyat Sabah.

Ketua Menteri Sabah, YAB Dato' Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal berkata, keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri itu akan dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita (Kerajaan Negeri) dengar suara rakyat (semua) peringkat. Bukan hanya pada PRK Parlimen Kimanis saja, bahkan secara keseluruhan suara rakyat yang tak inginkan (PSS).

"Justeru Kabinet Negeri Sabah akan maklumkan kepada KDN selaku kementerian (yang) bertanggungjawab, supaya batalkan rancangan pelaksanaan PSS pada bulan Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menadatangani Nota Kolaborasi antara Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan Universiti Teknologi Mara dan Petra Energy Berhad, di sini, semalam.

Terdahulu pada September tahun lepas, Menteri Dalam Negeri, YB Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan pelaksanaan PSS mulai 1 Jun depan bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing yang tinggal lama di Sabah iaitu IMM13; Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat tentangan beberapa pihak termasuk rakyat dan parti pembangkang yang menggunakan isu itu pada kempen PRK Parlimen Kimanis.

Mohd Shafie berkata, selepas keputusan itu diumumkan, Kerajaan Negeri sentiasa mendengar suara rakyat, bukan hanya ketika PRK Parlimen Kimanis sahaja.

Menurutnya, beliau akan ke Kuala Lumpur pada minggu depan bagi membincangkan keputusan Kerajaan Negeri Sabah membatalkan pelaksanaan PSS dengan pihak KDN.

Diminta mengulas mengenai mekanisme lain dalam menangani masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri itu susulan pembatalan PSS, Mohd Shafie berkata, terpulang kepada keputusan pihak KDN dalam menangani masalah PTI di negeri itu.

“Kita laksanakan mana (yang) mampu. Kita (akan) pastikan keadaan ini (masalah PTI) tak jejaskan keselamatan dan alam sekitar di Sabah,” katanya.