PEMUDA SOSIALIS DAP TEGUR SYED SADDIQ

Rabu, 22 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

SHAH ALAM: Lapan pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) membidas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengenai isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

Mereka dimaksudkan adalah Setiausaha Pemuda DAP Antarabangsa, Satees Muniandy; Timbalan Ketua, Chiong Yoke Kong; Setiausaha, Eric Teh; Pengarah Pendidikan Politik, Tan Tiong Yih; Setiausaha Penganjur, Lee Wei Siang; Bendahari, Khoo Khim Han serta ahli jawatankuasa, Woo Kah Leong dan Yu Ong Ching.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkenaan, mereka menegaskan bahawa Syed Saddiq perlu membetulkan dahulu sayap parti BERSATU sebelum mencampuri isu parti lain.

Menurut mereka, beliau perlu membersihkan imej ARMADA yang tercemar, ekoran serbuan polis terhadap satu pesta dadah di sebuah kondominium melibatkan beberapa pemimpin parti itu baru-baru ini.

"Jika ada sesiapa yang perlu betulkan diri mereka, itu adalah Syed Saddiq. Dia sepatutnya betulkan dulu sayap parti yang diketuainya sebelum cuba menasihati orang lain,” kata mereka kenyataan tersebut, hari ini.

DAPSY turut menegur mengenai tuduhan sembarangan terhadap beberapa pemimpin PH terutama daripada DAP dan PKR dalam isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim.

“Majoriti pemimpin yang disebut (oleh) Syed Saddiq dalam kenyataannya, tak ada (pun) menyebut bahawa Dr Mahathir perlu letak jawatan serta-merta. Mereka hanya suarakan pandangan majoriti rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia mahu peralihan kuasa secara aman tanpa kejutan. Pemimpin ini tak kata Mahathir perlu segera letak jawatan. Apa yang mereka minta ialah satu tarikh ditetapkan,” kata mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, tarikh peralihan yang ditetapkan dengan jelas akan menghapuskan kekeliruan orang ramai.

"Apa yang susah bagi Syed Saddiq untuk faham? Syed Saddiq sendiri akui peralihan kuasa adalah sesuatu yang telah dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden.

“Apa yang salah dalam meminta penjelasan tentang perkara ini? Komen mereka hanya suarakan pendapat dan pandangan mereka (saja),” kata mereka.