TANGGUH PEMBAYARAN PINJAMAN PERUMAHAN SEPERTI ITALI

Rabu, 18 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/2

KUALA LUMPUR:  Kerajaan Malaysia digesa menuruti jejak langkah Kerajaan Itali yang menggantung pembayaran balik semua pinjaman perumahan tatkala penularan COVID-19. 

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Dato' Iskandar Abdul Samad berkata, usaha itu bagi membantu rakyat menghadapi kesan wabak berkenaan.

"Penggantungan ini bukan kali pertama (dilaksanakan) di Itali, tapi pernah berlaku ketika krisis kewangan melanda negara Eropah itu.

"Di Malaysia, kesan kesihatan wabak ini akan melibatkan ribuan rakyat dan negara telah mencatatkan kematian pertama semalam.

"Namun, kesan kewangan (yang berpunca daripada) wabak ini akan melibatkan lebih ramai rakyat Malaysia," katanya.

Rasional di sebalik gesaan itu katanya, berikutan ramai kehilangan pendapatan kerana diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji.

Tambahnya, pendapatan mereka yang terlibat dalam perniagaan dan pembekal perkhidmatan turut terjejas akibat pengurangan permintaan atau arahan kawalan pergerakan.

"Paling terkesan adalah mereka yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga di pasar atau membuka warung.

"Terdapat cadangan agar mereka berbincang dengan pihak bank untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman.

"Tapi kami yakin, bukan semua dari mereka berupaya mengadakan perbincangan dengan pihak bank," katanya.

Sebaliknya tegas beliau, kerajaan yang perlu menggerakkan insiatif itu dengan mengadakan perbincangan bersama pihak bank dan institusi kewangan.

"Tanpa inisiatif dari kerajaan, tak hairan jika ramai yang akan melihat kediaman mereka (kelak) dilelong oleh pihak bank," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020.

Langkah tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, serta Akta Polis 1967.