KP KESIHATAN RAYU ORANG RAMAI JANGAN KELUAR RUMAH

Rabu, 18 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/2

KUALA LUMPUR:  "Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil Perintah Kawalan Pergerakan ini secara serius. Duduk di rumah dan jangan keluar.

"Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan jangkitan COVID-19. Bantulah KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dengan memainkan peranan anda. 

"(Ini) kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga," ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Dato' Dr Noor Hisham Abdullah.

Demikian rayuan beliau kepada orang ramai menerusi perkongsian dalam status akaun Facebook miliknya, pada hari ini.

Seandainya usaha yang sedang dilaksanakan itu berdepan kegagalan, katanya, berkemungkinan mengakibatkan Malaysia dilanda gelombang ketiga virus berkenaan.

"Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami.

"Lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap tidak kisah," katanya yang turut mengingatkan orang ramai agar menjarakkan diri antara satu sama lain.

Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020.

Langkah tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, serta Akta Polis 1967.