KPN NAFI BERI KEISTIMEWAAN LEPASI PKP

Sabtu, 18 April 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Laman media sosial

1/3

KUALA LUMPUR: "Kecuali bagi kes-kes melibatkan kebajikan OKU, saya tak pernah dihubungi sesiapa pun untuk mendapatkan keistimewaan bagi melakukan sebarang pergerakan dalam tempoh PKP ini berkuat kuasa.

"Segala peraturan yang terkandung di dalam PKP ini mesti dipatuhi oleh semua pihak," tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan pada hari ini.

Demikian penafian beliau terhadap ciapan seorang wanita di laman Twitter bertarikh 10 April lalu yang didapati telah 'memetik' namanya untuk melanggar PKP.

Berdasarkan ciapan tersebut, difahamkan wanita terbabit memberitahu ibu bapanya yang dia mahu pulang ke Kuantan, Pahang hanya disebabkan mood tidak baik.

Wanita itu memaklumkan dalam ciapan yang sama, bahawa bapanya telah menghubungi KPN TS Hamid (Abdul Hamid) yang didakwa sebagai rakan bapanya.

Wanita terbabit turut membuat telahan, mungkin terlalu ramai yang meminta tolong semasa COVID-19 hingga menyebabkan Abdul Hamid tidak boleh menjawab panggilan bapanya.

Namun dalam ciapan bertarikh 12 April lalu, wanita berkenaan didapati memuat naik video berdurasi 14 saat yang menunjukkan sedang dalam perjalanan ke Kuantan dan telah tiba di persimpangan Genting Sempah.

Kemudian wanita itu bertindak memadam akaun sosialnya akibat dikecam netizen.

Bagaimanapun, syot layar ciapan terbabit terus-menerus tular di ruang siber.