SEMAK SEMULA SOP, KUKUHKAN PERKONGSIAN MAKLUMAT

Khamis, 16 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

SINGAPURA: Pemeteraian semakan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dijangka ditandatangani pada penutup Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Bersama (JCC) Kawalan Selat Melaka (MSP) Ke-14, hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) dalam satu kenyataan semalam, semakan semula SOP itu bagi mengukuhkan perkongsian maklumat dan meningkatkan persefahaman serta kerjasama antara anggota MSP.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan oleh Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), yang dihadiri wakil tentera dari Indonesia; Malaysia; Singapura dan Thailand.
 

Malaysia diwakili oleh Assisten Ketua Staf Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan (BOLP), Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Hashim Aman Shah.

Menurut Mindef, negara anggota akan membincangkan mengenai peningkatan insiden rompakan laut di Selat Singapura; langkah untuk mengukuhkan lagi penyelarasan perkongsian maklumat dan menjalankan operasi rondaan untuk menghalang serta menggagalkan rompakan laut di wilayah maritim negara masing-masing di Selat Melaka dan Singapura (SOMS).

Ketua Operasi Tentera Laut RSN, RADM Edwin Leong turut mengulangi kepentingan MSP.

"Selat Melaka dan Singapura adalah laluan air kritikal dan strategik. Oleh itu, penting bagi semua untuk pastikan keselamatan maritim kapal yang melalui perairan yang sibuk ini.

“Usaha untuk menjaga keselamatan selat ini meliputi kapal yang mengamalkan amalan terbaik; negara pesisir bertukar maklumat dan bertindak balas dengan cepat untuk menggagalkan sebarang ancaman rompakan di laut,” katanya.

Sejak 2004, MSP adalah kerjasama praktikal yang dilaksanakan oleh Indonesia; Malaysia; Singapura dan Thailand untuk memastikan keselamatan SOMS.

Ia termasuk mewujudkan Peronda Laut Selat Melaka; melaksanakan pengawasan ruang udara di kawasan Selat Melaka di bawah inisiatif Eyes in the Sky dan Kumpulan Pertukaran Perisikan.

Anggota MSP akan mengadakan mesyuarat tetap untuk meningkatkan penyelarasan; mengkaji semula pengendalian operasi dan terlibat dalam pertukaran intelek serta perkongsian maklumat untuk memastikan keselamatan dan keamanan SOMS.