ATM TUBUH PEMERINTAHAN SIBER DAN ELETROMAGNETIK

Khamis, 16 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menubuhkan Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik bagi menghadapi ancaman siber.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Haji Affendi Buang berkata, penubuhan itu bertujuan mengukuhkan penguasaan anggota keselamatan dalam mendepani ancaman terhadap domain siber yang dilihat semakin kritikal.

"Kita tahu hidup dalam dunia dengan domain siber amat penting. Bagi sesetengah pihak, ini satu keperluan kritikal. (Jika) tidak memiliki keupayaan itu, kita tak pasti terlindung.

"Ancaman hadir dalam pelbagai cara dan kita hidup dalam dunia yang ancaman ke atas domain siber merupakan antara ancaman utama," katanya.

Menurut Affendi, ancaman serangan domain siber boleh memincangkan negara sebagaimana disaksikan menerusi serangan nafi khidmat (DoS); perisian hasad dan penggodaman yang ditaja oleh negara musuh.

"Sudah tiba masa ATM mendepani cabaran menerusi penubuhan itu (Siber dan Elektromagnetik) demi menentukan kemampanan rangkaian ATM dan keselamatan kepentingan negara di dalam domain siber," katanya kepada pemberita pada Majlis Perintah Ulung Panglima ATM Ke-21 di Wisma Pertahanan, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Panglima Haji Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato' Seri Ackbal Haji Abdul Samad dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.