TIADA UNDI POS UNTUK PENGUNDI LUAR KAWASAN

Sabtu, 15 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan SPR

1/1

PUTRAJAYA: Tiada kemudahan undi pos disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi Sabah di luar kawasan seperti di Sarawak atau Semenanjung Malaysia.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, sebaliknya penambahbaikan hanya boleh dilakukan sekiranya ketelusan proses pemilihan dapat dikekalkan.

"Pihak SPR akan terus berusaha memperbaiki proses pengundian pos, selain daripada meneroka pilihan alternatif untuk pengundi luar kawasan.

"Sehubungan itu, satu jawatankuasa telah dibentuk di bawah pelan penambahbaikan bagi mengkaji isu ini.

"Proses ini tidak boleh tergesa-gesa dan sebarang penambahbaikan mesti dilakukan dengan berhati-hati," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Untuk makluman, hal ini telah dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Bersih melalui satu kenyataan media pada 5 Ogos lalu agar SPR beri kemudahan undi pos kepada pengundi luar kawasan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.