STATUS PERALIHAN KUASA BAKAL DIMUKTAMADKAN

Jumaat, 14 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

PUTRAJAYA: Status peralihan kuasa antara Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri di Putrajaya, Dr Mahathir mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti dijanjikan.

"Dalam pertemuan tersebut, saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan mengenai peralihan kuasa.

"Saya bangkitkan isu itu kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil dari KEADILAN sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

"Perdana Menteri tak terlibat dalam usaha tersebut, malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan," katanya.

Menurutnya, pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH sepertimana dimeterai pada 7 Januari 2018.

"Saya turut maklumkan Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian, maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018.

"Yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri ke-8.

"Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)," katanya.

Menurutnya, perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.

"Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya, semalam.