KAMI MAAFKAN ASRI - ATM

Khamis, 13 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan Sinar Harian

1/1

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima permohonan maaf daripada Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali dalam kalangan netizen sebagai Asri Janggut.

Video permohonan maaf Asri Janggut itu telah disiarkan secara langsung di platform media sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, walaupun kenyataan dikeluarkan keterlaluan dan mengguris hati warga ATM terutama yang beragama Islam, namun sudah menjadi lumrah manusia yang tidak lepas daripada membuat kesilapan. 

"Semoga apa yang berlaku dapat dijadikan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia, agar sentiasa peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau pendapat yang boleh mencetuskan sebarang polemik. 

"Saya berharap agar perkara seumpama ini tidak akan berulang di masa akan datang dan menyeru masyarakat untuk tidak membangkitkan lagi perkara ini di khalayak umum bagi menjaga keharmonian semua.

"Sesungguhnya, memaafkan kesalahan orang lain adalah dituntut dalam agama Islam kerana Islam merupakan agama perdamaian dan kemaafan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk makluman, kenyataan Asri Janggut semasa sesi wawancara secara langsung dalam platform media sosial PPIM pada 11 Ogos lalu menjadi tular ekoran memberi gambaran negatif terhadap warga ATM.