SPR MULA EDAR KAD PENGUNDI

Selasa, 11 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan mysumber.com

1/1

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi (voter’s card) kepada 23,094 pengundi.

Jumlah berkenaan meliputi kategori 22,815 pengundi biasa dan 277 pengundi awal.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah mengedarkan voter’s card mulai 10 Ogos lalu kepada semua pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Slim, Perak.

“Voter’s card ini mengandungi maklumat pusat mengundi; saluran mengundi; nombor bilangan pengundi; tarikh; masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.
 

“Pada voter’s card kali ini, SPR meletakkan masa keluar mengundi yang digalakkan, bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

“Ini selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342, Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa voter’s card, atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

“Pengundi yang telah menerima voter’s card tidak lagi perlu menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih di Barung SPR kerana kedua-dua maklumat berkaitan ada dinyatakan dalam voter’s card tersebut.

“Mana-mana pengundi yang tidak menerima voter’s card berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian, iaitu pusat mengundi; saluran dan nombor bilangan melalui portal SPR,” katanya.