ADUN PUJUT HILANG KELAYAKAN

Selasa, 11 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan kelayakan YB Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang mewakili parti DAP.

Menurut akhbar Borneo Post, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengembalikan semula kerusi Tiong Choon sebagai ADUN Pujut sebelum ini, diketepikan dalam penghakiman majoriti tujuh berbanding dua.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana lebih tiga tahun sudah berlalu sejak pilihan raya negeri terakhir diadakan.

Kelayakan beliau sebagai ADUN Pujut dibatalkan pada 12 Mei 2017 di DUN Sarawak kerana beliau didakwa mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia.

Sementara itu, dalam penghakiman hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan DUN mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Tiong Choon kerana beliau memiliki dua kerakyatan meskipun telah melepaskannya sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri yang lalu.

Terdahulu, pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, Tiong Choon memenangi pertandingan empat penjuru di DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN); Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).