HAIWAN PELIHARAAN BUKAN PENYEBAR COVID-19

Rabu, 8 April 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Ihsan We Love Cats & Kittens
Video: Ihsan Facebook Persatuan Haiwan Malaysia

1/2

PUTRAJAYA: Jangan bunuh; seksa; sembelih atau buang kucing anda! Diulang sekali lagi, jangan!

Sama juga bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan lain, misalnya anjing. Jangan buat benda tidak elok pada makhluk Allah berkenaan!

Sebab Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPVM) sudah mengesahkan, haiwan kesayangan bukan penyebar virus COVID-19.

Sehubungan itu, para pemilik tidak perlu menjalankan ujian pengesanan virus COVID-19 pada haiwan kesayangan masing-masing.

 

"Berasaskan penemuan saintifik semasa, walaupun haiwan kesayangan boleh dijangkiti dengan virus COVID-19, namun ia tidak berbahaya.

"(Ini) kerana virus berkenaan hanya menyebabkan jangkitan yang ringan pada haiwan tersebut.

"Virus yang ada pada haiwan, berada dalam jumlah yang rendah untuk disebarkan kepada manusia," tegas JPVM dalam satu kenyataan media, di sini.

Tambah JPVM, kes COVID-19 membabitkan haiwan kesayangan juga adalah terpencil.

Bagi mengukuhkan lagi kenyataan mereka, turut disertakan adalah petikan kajian Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) pada April 2020 sebagai bukti.

Walaupun terdapat kes COVID-19 melibatkan dua anjing peliharaan di Hong Kong selepas pemiliknya positif wabak berkenaan, tetapi tiada bukti menunjukkan anjing itu menyebarkannya.

Namun, kajian lanjut masih dijalankan oleh OIE untuk memahami kebarangkalian serta bagaimana COVID-19 boleh memberi kesan terhadap pelbagai jenis haiwan.

"Haiwan kesayangan didapati tidak boleh dijangkiti secara semulajadi. Sehingga kini, punca jangkitan pada haiwan adalah daripada manusia.

"Jadi, kita nasihatkan pemilik haiwan kesayangan yang mengesyaki dirinya terjangkit dengan COVID-19 agar mengasingkan diri dan haiwan kesayangan bagi mengelakkan in contact.

"Pemilik haiwan kesayangan perlu mengamalkan kebersihan diri dan (memastikan) keperluan kebajikan haiwan tidak diabaikan," ujar JPVM.

Sebelum ini tular sebuah video berdurasi 23 saat di laman media sosial, memaparkan tindakan kejam seorang warga emas terhadap haiwan.

Tampak lelaki terbabit telah memukul haiwan berkenaan berulang kali menggunakan kapak.

Haiwan malang yang berada dalam bungkusan itu disyaki adalah anjing, berdasarkan bunyi salakan penuh kesakitan yang didengari.

Difahamkan, lelaki itu telah pun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Brunei, beberapa hari lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.