TUJUH NEGERI PALING MAJU TAHUN 2019

Jumaat, 07 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan Malaysia Journal

1/1

PUTRAJAYA: Tujuh negeri dilaporkan mencatatkan pertumbuhan ekonomi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melepasi paras nasional (4.3 peratus) bagi tahun 2019, oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor menerajui pertumbuhan itu dengan 6.7 peratus, sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula sebanyak enam peratus.

"Lima lagi negeri adalah Kelantan (5.3 peratus); Wilayah Persekutuan Labuan (5.2 peratus); Negeri Sembilan (5.1 peratus); Kedah (4.6 peratus) dan Perlis (4.6 peratus)," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia turut mengumumkan tujuh negeri yang merekodkan pertumbuhan ekonomi lebih baik berbanding tahun sebelumnya iaitu Kelantan 5.3 peratus (2018: 2.6 peratus) dan Negeri Sembilan 5.1 peratus (2018: 4.2 peratus).

Selain itu, lima negeri yang turut mencatatkan peningkatan adalah Kedah; Perlis; Pahang; Terengganu dan Sarawak.

Menurut Dr Mohd Uzir, pemulihan prestasi sektor pertanian iaitu peningkatan pengeluaran kelapa sawit, getah dan tanaman sayuran serta pertumbuhan lebih baik sektor perkhidmatan telah memberi kelebihan kepada momentum pertumbuhan di beberapa negeri terbabit.