LARANGAN BERKONGSI GUNA PELEKAP MULUT (MOUTHPIECE) 

Khamis, 06 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan Astro Awani

1/1

PUTRAJAYA: Murid-murid dalam bidang muzik di Sekolah Seni Malaysia dan semua sekolah harian lain dilarang berkongsi pelekap mulut (mouthpiece) bagi alat muzik jenis tiupan, berkuat kuasa serta-merta selepas sekolah dibuka pada 3 Ogos lalu.  

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan dikeluarkan oleh Sekolah Seni Malaysia Johor memaklumkan bahawa selain amalan penjarakan fizikal, pihak sekolah juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan murid berkongsi barangan peribadi termasuk alat muzik yang diguna pakai.

KPM bagaimanapun tidak menghalang murid meminjam alat muzik tiupan milik sekolah, akan tetapi ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk menyediakan pelekap mulut (mouthpiece) sendiri mengikut kategori alat tiupan masing-masing terutama dalam tempoh PKPP bagi mengekang penularan Covid-19.

Ibu bapa atau murid boleh menghubungi jurulatih muzik masing-masing berkenaan dengan saiz pelekap mulut yang sesuai dengan alat muzik milik sekolah, sebelum membeli di kedai yang menjual peralatan muzik.