HARGA SILING PELITUP MUKA DITURUNKAN

Khamis, 06 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan Astro Awani

1/2

PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menurunkan harga maksimum pelitup muka ke paras yang lebih rendah, iaitu dari RM1.50 seunit kepada RM1.20 seunit bermula 15 Ogos ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Alexander Nanta Linggi berkata, walau bagaimanapun, harga ini mungkin boleh diturunkan lagi berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan dan harga pelitup muka oleh kementerian.

"KPDNHEP sedang memantau bekalan di peringkat pengeluaran, pengimportan dan di peringkat runcit, bagi tujuan menentukan harga maksimum yang wajar berdasarkan kepada situasi pasaran semasa.
 

"Selain itu, bagi memastikan bekalan topeng muka mencukupi dalam pasaran, pihak kementerian telah mewartakan larangan eksport topeng muka melalui perintah P.U.A (88) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) (Pindaan) 2020 berkuat kuasa pada 18 Mac 2020.

"Tujuannya bagi mengelakkan kekurangan bekalan dan seterusnya menyebabkan harga meningkat secara mendadak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dato' Alexander juga memaklumkan, pada masa kini, kebergantungan kepada pelitup muka pakai buang telah menurun berikutan pengguna mula mendapatkan pelitup muka jenis fabrik sebagai alternatif kepada pelitup muka pakai buang.