KEBENARAN OPERASI KILANG MINUMAN KERAS DIBATALKAN

Isnin, 06 April 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan Twitter YB Tan Sri Annuar Musa & laman media sosial

1/3

KUALA LUMPUR: "Sudah dibatalkan pagi ini.. kerana tak selari dengan dasar yang ditetapkan kerajaan," tegas Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tan Sri Annuar Musa.

Demikian ciapan yang tertera pada laman Twitter beliau, hari ini.

Difahamkan, kenyataan dibuat merupakan maklum balas terhadap ciapan laman Twitter dikenali sebagai KERAJAAN.

Sebelum ini, pihak terbabit memohon agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin membatalkan segera kelulusan yang telah dikeluarkan.

Kelulusan dimaksudkan adalah kebenaran diperolehi kilang minuman keras, Heineken untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beberapa jam sebelum itu, Annuar turut memberi respons awal terhadap gesaan dikemukakan oleh laman Twitter KERAJAAN.

"Ini jelas tidak selari dengan dasar yang diputuskan. Tindakan perlu diambil segera. Period," ujarnya melalui ciapan di Twitter.

Semalam, tular di media sosial mengenai surat yang didakwa dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tertera dalam surat bertarikh 31 Mac itu, bahawa permohonan Heineken memenuhi kriteria ditetapkan sebagai operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.

Difahamkan, kilang tersebut boleh beroperasi bagi memastikan pembekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Bagaimanapun, surat berkenaan telah mengundang pelbagai reaksi netizen yang menuntut penjelasan pihak berwajib.