BAYARAN BALIK PTPTN DILANJUTKAN SEHINGGA DISEMBER 2020

Selasa, 04 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan Malaymail

PUTRAJAYA: Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik PTPTN untuk tiga bulan lagi, bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Dr Noraini Ahmad berkata, semua peminjam PTPTN akan diberi pelanjutan secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

"Sekiranya terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dato' Dr Noraini turut memaklumkan bahawa penangguhan tersebut melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta.

"Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion," katanya.

Langkah itu diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai lalu berkaitan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar.