SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2021 BERMULA 20 JANUARI

Selasa, 04 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan Facebook Dr Mohd Radzi Jidin

1/1

KUALA LUMPUR: Pembukaan penggal pertama persekolahan tahun 2021 bagi seluruh negara ditetapkan pada 20 Januari. 

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembukaannya dilewatkan untuk memastikan kelancaran urusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021.

"Kita juga ingin memastikan bahawa murid; ibu bapa; guru dan warga sekolah mendapat ruang yang mencukupi untuk membuat persiapan menghadapi tahun akademik baru 2021.
 

"Selain permulaan penggal awal tahun dilewatkan, cuti pertengahan penggal ketiga turut diperkenalkan buat pertama kalinya dalam takwim persekolahan 2021," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Rakyat, semalam.

Dr Mohd Radzi turut mengumumkan bahawa takwim penuh persekolahan tahun 2021 akan dikeluarkan dalam masa terdekat oleh pihak kementerian.