TIDAK MUSTAHIL MASJID, SURAU DIBUKA DALAM MASA TERDEKAT

Isnin, 4 Mei 2020
Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Kredit foto: Ihsan Facebook YB Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan ITC

1/4

KUALA LUMPUR: Kebarangkalian untuk masjid dan surau dibuka semula dalam masa terdekat adalah tidak mustahil, walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kebarangkalian itu wujud sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan ibadah di masjid dan surau yang telah disiapkan.

Tambahnya, tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat secara umumnya sepanjang PKPB turut menjadi faktor penilaian, termasuk mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
 

"Garis panduan itu telah disiapkan oleh Unit Penyelidikan Ilmiah, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Ia telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-4 pada 30 April lalu.

"Mesyuarat ini dihadiri para Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia dan Ahli-Ahli Dilantik MKI. Ia dipengerusikan oleh Dato' Wan Zahidi Wan Teh," katanya.

 

Menurut beliau, pelaksanaan garis panduan tersebut tertakluk kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa, serta kebenaran dari KKM dan MKN.

"Pertimbangan utama kerajaan adalah melihat kepada kesiapsiagaan dan persediaan teknikal di tahap optimum semua pihak iaitu Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.

"(Mereka) sebagai badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama, serta (mengambil kira) persediaan masjid dan surau di tahap terbaik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu kata Zulkifli, jika garis panduan itu mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan sekalipun, pelaksanaannya masih tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa utama di setiap negeri.

"(Sebab) urusan pentadbiran hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri, di bawah naungan Raja-Raja.

"Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan," katanya.