INSTITUSI PERBANKAN DISARAN LUPUS FAEDAH TERAKRU BAGI MORATORIUM

Sabtu, 2 Mei 2020
Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Kredit foto: Facebook YB Tengku Dato' Seri Zafrul

1/2

KUALA LUMPUR: "Saya ingin menyarankan agar semua institusi kewangan, khususnya yang terlibat dalam moratorium ini untuk mempertimbangkan (semula).

"Supaya faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap), dilupuskan sewaktu tempoh enam bulan moratorium," ujar Menteri Kewangan, YB Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Akta Bank Negara 2009, katanya, isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM).

"Namun yang demikian, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif bagi mencari penyelesaian kemelut ini.

"Melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank, untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

"Kami di Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan, bagi memastikan pelaksanaan saranan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekeliruan dalam kalangan umum, membabitkan kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium ditawarkan institusi kewangan.

"Antara punca kekeliruan ini disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat.

"Sehubungan itu, BNM pada 1 Mei 2020 menerbitkan sebuah dokumen 'Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap' yang telah dikemas kini, di laman sesawangnya.

"BNM juga telah membuat sidang media, untuk memperjelaskan lagi kekeliruan yang dihadapi peminjam," katanya.