PM TIADA PERJUMPAAN DENGAN PEMIMPIN POLITIK

Isnin, 02 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Kredit foto: Facebook Muhyiddin Yassin & financetwitter.com

1/2

KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan perkhabaran bahawa Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat atau perjumpaan dengan mana-mana pemimpin politik, hari ini.

Menerusi satu kenyataan media oleh PMO, difahamkan Muhyiddin hanya dijadualkan bertemu dengan Ketua Setiausaha Negara iaitu Dato' Seri Mohd Zuki Ali dan ketua-ketua jabatan serta agensi.

Menurut PMO, tujuan pertemuan berkenaan untuk menyelaraskan perjalanan pentadbiran kerajaan.

Sebelum itu media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah membabitkan Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh peguam Ahmad Zahid iaitu Hisyam Teh Poh Teik.

Difahamkan, tujuan penangguhan tersebut disebabkan Ahmad Zahid perlu berbincang dengan Perdana Menteri membabitkan urusan pembentukan kabinet baharu.