PEMUDA UMNO MAHU SAMAN SYED SADDIQ

Sabtu, 01 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

SHAH ALAM: Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) membuat laporan polis terhadap Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan dakwaan beliau dikepung penyokong UMNO dalam satu insiden di Ulu Tiram, Johor, malam tadi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato' Dr Aysraf Wajdi Dusuki berkata, sayap parti itu juga akan memfailkan saman terhadap Menteri Belia dan Sukan, sekiranya beliau gagal membuat permohonan maaf.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi menggesa polis supaya menyiasat menteri berkenaan di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan kerana membuat fitnah, serta di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, barisan peguam daripada Pemuda UMNO juga akan menghantar notis tuntutan kepada Syed Saddiq supaya mengeluarkan perkataan fitnah terhadap UMNO daripada status laman Facebooknya dan memohon maaf secara terbuka.

"Jika gagal, Pemuda UMNO akan failkan saman fitnah di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq dan keluarganya menghadiri perjumpaan ARMADA di sebuah restoran di Ulu Tiram malam tadi, yang dihadiri anggota PEMUDA; wanita; sayap bahagian dan keluarga mereka.

Syed Saddiq berkata, kira-kira 200 orang menyerbu majlis itu dan mengepung beliau sebelum menjerit serta mengeluarkan kata-kata kesat.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya pagi ini, beliau mendakwa kekecohan itu dipercayai dilakukan oleh penyokong UMNO.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial, kumpulan itu kedengaran menjerit menyuruh Ahli Parlimen Muar itu meninggalkan negeri ini.

Syed Saddiq juga mendakwa bahawa beliau; keluarganya; dua wakil rakyat dan beberapa individu lain terpaksa 'melompat pagar' untuk melepaskan diri.

Asyraf Wajdi bagaimanapun menafikan penglibatan UMNO dalam kejadian itu.