SYED SADDIQ DIKEPUNG GANGSTER UPAHAN

Sabtu, 01 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berdepan detik cemas apabila perhimpunan tertutup dihadirinya diganggu sekumpulan gengster upahan.

Insiden berkenaan memaksa beliau dan beberapa pemimpin lain melarikan diri dengan mengikuti jalan tikus serta melompat pagar.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Syed Saddiq mendakwa, kumpulan gangster berpakaian serba hitam itu telah mengepung tempat pertemuan dan memekik kata-kata kesat.

Syed Saddiq juga mendakwa bahawa kumpulan terbabit melaungkan kepada beliau supaya meminta maaf kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ).

“Malam ini, saya dan Armada Johor berkumpul di Ulu Tiram, Johor. Kami rancang untuk duduk semeja; sembang santai dan bersatu hati. Keluarga Srikandi dan Bahagian juga ada yang turut hadir. Ini rancangan asalnya lah.

“Tapi, malam ini diganggu oleh sekumpulan individu (sekitar 200 lebih orang) yang datang tak dijemput. Mereka semua berdiri keliling berpakaian hitam datang ke majlis kami. Gangster dan tak hormat orang.

"Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini.

“Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ, kalau mahu pulang dari majlis. Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadap dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat.

“Lebih teruk, keselamatan semua yang hadir. Bayangkan dikepung lebih 200 orang individu lagak seperti gangster. Saya sendiri; YB Rafiq; YB Mazlan dan (yang) lain terpaksa lari guna jalan tikus dan lompat pagar. Lari seperti orang salah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ARMADA dan BERSATU Johor sambil menegaskan tidak akan memaafkan kumpulan yang biadab itu.

"Terima kasih Armada Johor. Terima kasih Bersatu Johor. Malam ini adalah malam keluarga Armada dan Bersatu. Saya tak akan maafkan kumpulan yang biadap ini," katanya.

Syed Saddiq turut mengingatkan orang yang bertanggungjawab di sebalik tabir insiden itu bahawa Malaysia mempunyai undang-undang; polis dan mahkamah.

“Tak ada sesiapa yang lebih tinggi dari perlembagaan. Baik saya atau orang lain.


“No one is above the rule of law. Ini Malaysia. Malaysia, milik semua,” katanya.