MB: KETEPI PERBEZAAN, CARI TITIK PERSAMAAN

24 Julai 2018          Foto: Rahim

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun, menggesa rakyat di negeri ini mengenepikan perselisihan dan perbezaan pendapat, sebaliknya mencari titik persamaan demi untuk menjayakan agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, perbezaaan pendapat harus diraikan tetapi ianya tidak sepatutnya sehingga menyebabkan kepada perpecahan, yang akhirnya memberi kesan kepada usaha mewujudkan kesejahteraan rakyat.

 

"Rakyat negeri ini yang berbilang kaum dan agama perlu bersatu padu dan sentiasa bermuafakat kerana ia penting dalam membangunkan negeri dan membina kesejahteraan rakyat.

 

"Perbezaan pendapat, fahaman dan idealogi antara satu sama lain itu perlu dijadikan sebagai jambatan ke arah membina kekuatan bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

"Saya mengharapkan agar masyarakat Islam di negeri ini terus berpegang teguh kepada ajaran Islam, yang menyarankan supaya kita bersatu padu," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Madrasah Al-Iman Taman Cempaka Senawang, malam tadi.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani.

 

Aminuddin berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah selesai dan pihaknya mahu semua pihak dapat berganding bahu dengan kepemimpinan kerajaan dalam usaha membangunkan negeri serta membela nasib rakyat.

 

"Semua pihak perlu memberikan sokongan padu kepada usaha membangunkan negeri dan membela nasib rakyat.

 

"Jangan sesekali kita terus bersengketa dan berdendam kerana ia tidak akan memberi apa-apa manfaat bersama, malah Islam sendiri tidak menyukai sikap sebegitu," tegasnya.

 

Menteri Besar juga mengingatkan masyarakat Islam supaya memberikan perhatian terhadap kepentingan generasi muda dalam memastikan isu gejala sosial membabitkan golongan itu tidak terus meruncing.

 

"Selain itu, saya juga berharap agar usaha membina institusi keluarga yang baik dan sejahtera diberikan perhatian khususnya tanggungjawab memelihara anak yatim, agar kehidupan itu mendapat keberkatan dari Allah SWT," katanya.