AHLI PERNIAGAAN BERPANGKAT DATO' DIDAKWA DI MAHKAMAH

Jumaat, 30 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/1

SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan berpangkat Dato' dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini, atas dakwaan mengemukakan surat palsu bagi mengelak membayar hutang sewa premis sebanyak RM40,000.

Tertuduh, Dato' S Thavarajah, 73, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan minta untuk dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menghalang bayaran sewa premis berjumlah RM40,000 kepada Pengarah Syarikat Redza Security Sdn Bhd iaitu N Mohana Sundram, 58, dengan menggunakan sepucuk surat palsu.

Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah premis di Jalan Durian Emas 3, Betaria Business Centre, di sini, pada 30 November 2018 sekitar jam 2.11 petang. 

Sekiranya terbukti bersalah di bawah Seksyen 422 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan amaun sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 13 September depan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob di hadapan Majistret, Mahyun Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Haresh Mahadevan.