HIJRAH KE THAILAND DEMI ILMU AGAMA

Selasa, 30 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

JEMPOL: Demi mengejar ilmu akhirat, seorang remaja berusia 13 tahun sanggup berjauhan dengan keluarga tercinta apabila membuat keputusan berhijrah ke Thailand.  

Demikian pengalaman ditempuh bekas penuntut Pusat Pengajian Ibnu Razak (iREC), Noorul Iman Keli, 13, yang melanjutkan pengajian peringkat hafazan dan kitab di Ma'ahad Darul Falah, Pattani selama lapan tahun.

Menurut Pegawai Eksekutif iREC, Zulkharnain Mustapha, keputusan itu merupakan satu pengorbanan jiwa, rasa dan harta demi melahirkan lebih ramai para ilmuan dan professional mukmin untuk mendepani masyarakat.

"Tempoh selama lapan tahun itu sebagai bekalan awal (persediaan) sebelum kembali ke tanah air, untuk mencurahkan (menyebarkan) ilmu yang diperoleh.

"Kami juga berdoa semoga Allah sentiasa mengurniakan himmah serta kesungguhan buat anak soleh ini," katanya kepada NS Daily, di sini.

Tambahnya, setiap tahun pihak iREC begitu komited mempersiapkan alumni dari asrama ini (kemasukan umur 13 tahun) dalam bidang kejuruteraan rohaniah & aqliah.

Berpaksikan misi 'Melahirkan Mukmin Profesional , mereka mahu membentuk seorang mukmin profesional yang mantap akidah serta kefahaman agama.

"Noorul Iman adalah alumni yang sempat mengikuti pengajian hampir dua tahun di asrama iREC dan telah berjaya menduduki UPKK dan UPSR di Sekolah Kebangsaan Serting Ulu.

"Tiga tahun pertama ini, Noorul Iman mengikuti Pengajian Tahfiz. Kemudian meneruskan sesi Pengajian Kitab secara pondok dibawah bimbingan Tuan Guru Baba Lutfee Al-Hafiz," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kerjasama daripada kenalannya untuk sama-sama usahakan apa jua bentuk sokongan mahu pun sumbangan untuk pendidikan Noorul Iman.

"Insya-Allah, kita boleh berurusan secara langsung melalui #pakar4ummah atau mengadakan lawatan khas ziarah ukhwah, mahabbah sambil mengikuti daurah di Pondok Darul Falah, Pattani," katanya.

Di samping itu, Zulkharnain turut menyeru untuk membuat kebaikan, mengingatkan tentang larangan Allah dengan kefahaman serta aqidah yang benar iaitu Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Sesungguhnya Allah SWT mengangkat tinggi darjat orang-orang yang berilmu berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: "Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah : 11].