ALAHAI, SI KECIL DAN TOMBOL PINTU...

Khamis, 29 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Ihsan Bomba

1/4

SEREMBAN: Pihak bomba terpaksa mengumpil bahagian tombol pintu bilik air di sebuah kediaman sekitar jam 11.49 malam tadi, untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak.

Kejadian membabitkan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu berlaku di kawasan perumahan Taman Hijayu 3, Bandar Sri Sendayan, di sini. 

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Mohd Syazwan Saidy, pihaknya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk membuka pintu berkenaan.

"Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke lokasi, selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.39 malam.

"Bahagian tombol pintu dipecahkan guna peralatan khas 'Rescue Tools'. Kita dapati, mangsa dalam keadaan trauma dan menangis," katanya.

Berdasarkan penjelasan si ibu, kata Mohd Syazwan, insiden itu berlaku selepas dia menegur anaknya kerana berkelahi.

"Mangsa merajuk dan masuk ke bilik tidur. Namun selang beberapa minit kemudian, si abang terdengar tangisan mangsa dalam bilik air ketika cuba memanggilnya.

"Si abang segera memanggil ibunya untuk membuka pintu bilik air tersebut, tapi tak berjaya. Jiran sebelah rumah pun cuba tolong sekali, masih tak berhasil.

"Akhirnya mereka menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk minta bantuan pihak bomba," katanya.