POLIS TAHAN SUAMI ISTERI KETAGIH MENCURI DI SURAU

Rabu, 28 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/3

SEREMBAN: Polis menahan sepasang suami isteri yang ketagih melakukan kegiatan mencuri di surau pusat membeli-belah sekitar Seremban dan Nilai, membabitkan kerugian sebanyak RM19,000.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pasangan itu ditahan di kediaman mereka di Senawang kira-kira jam 4 petang pada 21 Ogos lalu setelah disyaki terlibat dalam sembilan kes curi iaitu lapan di Seremban dan satu di Nilai.

"Modus operandi mereka adalah, si isteri menyelinap masuk untuk mencuri ketika jemaah sedang solat atau ambil wuduk. Si suami pula menjual barang curi itu ke tempat yang boleh dijual sebagai 'second hand' (barangan terpakai).

"Mereka sasarkan barangan mudah dijual seperti telefon bimbit; pengecas bank kuasa; komputer riba dan wang tunai. (Setakat ini), hasil risikan mendapati barangan tersebut dijual di Semenyih, bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan jika melibatkan kedai lain.

"Sesiapa yang membeli barangan curi jika disabitkan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan. Hukumannya penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, petang tadi.

Berdasarkan rekod lampau, kata Mohd Said, suspek wanita berusia 35 tahun yang bekerja kilang pernah ditangkap sebanyak 13 kali atas kesalahan mencuri dan baru sahaja dibebaskan dari Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan pada 11 Ogos tahun lalu.

Tambahnya, suspek lelaki berusia 39 dan bekerja sebagai tukang masak pula mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan dan kes narkotik pada tahun 2016 dan 2018.

Dalam pada itu, tambah Mohd Said, suspek diserahkan ke IPD Nilai hari ini untuk siasatan lanjut berhubung kes kecurian di daerah itu dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.