KARNIVAL IAT 2019 SASAR JUALAN RM500 RIBU

Rabu, 28 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

SEREMBAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan menyasarkan hasil jualan sebanyak RM500 ribu sepanjang tempoh penganjuran Karnival Industri Asas Tani (IAT) Negeri Sembilan 2019 pada 29 Ogos hingga 1 September ini.

Penganjuran edisi kali kedua itu dijangka bakal menarik seramai 80,000 pengunjung berdasarkan sambutan hebat yang ditunjukkan pada edisi terdahulu.

Ketua Program, Encik Yusri Mohd Noor berkata, seramai 39 usahawan akan mengambil bahagian pada acara yang diadakan di Mydin Senawang itu bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
 

"Setakat ini kita ada 39 penyertaan usahawan industri asas tani dan daripada jumlah itu 28 (merupakan) usahawan sekitar Negeri Sembilan. (Selebihnya) kita ada usahawan dari Selangor; Melaka; Johor; Wilayah Persekutuan dan Sarawak. 

"Dari segi persiapan, kita dah buat sejak tiga hari lepas dengan melaksanakan kerja-kerja asas dekat tapak (karnival). 

"Sekarang ini kita tunggu kedatangan usahawan bermula jam 2 petang ini sampai ke tengah malam, untuk mereka susun barang," katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk pameran daripada 12 jabatan dan agensi; kendera saji; makanan popular serta jualan 'happy hour'.

"Kita ada butik Agromas yang pertama kali ada di Negeri Sembilan. (Di samping itu), kita juga ada 10 khemah jualan terus dari ladang dengan harga yang cukup menarik. 

"Rugi (bagi) siapa yang tak datang. Rebutlah peluang untuk datang ke karnival kita ini," katanya. 

Yusri berkata, pihaknya akan mengetengahkan dua produk asas tani Negeri Sembilan iaitu jagung dan nangka. 

"(Perkara) ini seperti yang diarahkan oleh kementerian untuk mengenal pasti produk berkualiti di peringkat negeri masing-masing," katanya ketika dihubungi NS Daily, di sini, hari ini.