PERUNTUKAN RM500,000 BAGI MEMPERKASA ADAT PERPATIH

Jumaat, 28 Jun 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/1

KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi memperkasakan Adat Perpatih, menerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, YB Mohamad Nazaruddin Sabtu berkata, Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah turun ke Luak-Luak untuk memberi penerangan mengenai dana yang disalurkan.

"Ini termasuk pengisian program dan aktiviti berdasarkan teras Adat Perpatih iaitu 'Adat Bersendikan Hukum; Hukum Bersendikan Kitabullah', pemimpin dan kepimpinan, persempadan adat dan luak serta kekerabatan matrilineal dan persukuan.

"Pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan Adat Perpatih, telah pun dilaksanakan oleh Luak-Luak dengan menggunakan peruntukan ini.

"Program dan aktiviti yang dah dijalankan berserta dengan jumlah peruntukan digunakan oleh Luak-Luak, telah pun dinyatakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Adat Lingkungan dan Suai Kenal Ibu Soko yang diadakan di Galeri Seri Menanti, Muzium Diraja Seri Menanti, di sini, baru baru ini.

Sehubungan itu kata Mohamad Nazaruddin, pihaknya berharap agar Luak-Luak berkenaan meneruskan program dan aktiviti yang berkaitan secara bersama dengan Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Menurut beliau, matlamatnya untuk memastikan Adat Perpatih sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda di negeri ini.

"Salah satu daripadanya adalah melalui bengkel dan suai kenal Ibu Soko anjuran Adat Lingkungan sepertimana yang diadakan ini.

"Melalui ceramah yang telah disampaikan oleh penceramah, kita dapat mengetahui sejarah dan persempadanan serta busana di Negeri Sembilan khususnya di Adat Lingkungan yang turut menjadi antara elemen utama dalam teras Adat Perpatih.

"Saya juga berharap agar pihak muzium akan terus mencungkil dengan lebih mendalam teras berkaitan di Adat Lingkungan yang mempunyai keunikan seperti makanan, tapak sejarah dan seni budaya," katanya.

Difahamkan bengkel ini telah disertai seramai 100 individu yang terdiri daripada Dato’-Dato’ Penyandang Pesaka Adat Lingkungan, Ibu-Ibu Soko, Besar-Besar Waris dan Buapak-Buapak.