TIGA MAUT DALAM KEMALANGAN LIBAT EMPAT KENDERAAN

Selasa, 27 Ogos 2019

Oleh: Daniel HA

1/3

SEREMBAN: Tiga maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan di KM 269.7 Lebuhraya PLUS arah Utara menghala ke Kuala Lumpur, malam tadi.

Kemalangan melibatkan empat buah kenderaan iaitu dua motosikal dan dua lori yang membawa muatan simen dan tong gas.

Kemalangan itu juga telah mengakibatkan kesemua laluan menghala ke Kuala Lumpur terhalang, ekoran kedua-dua lori terbabit melintang di lebuh raya.

Sehubungan itu, pihak PLUS telah bertindak pantas dengan menutup laluan ke Utara berikutan lambakan tong gas atas jalan dan semua kenderaan yang menghala Kuala Lumpur telah diarahkan keluar melalui Plaza Tol Bandar Ainsdale, Seremban.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Asree Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.50 malam dan sampai di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

 

Menurutnya, seorang mangsa dalam lori simen didapati telah meninggal dunia akibat tersepit manakala dua lagi mayat mangsa dipercayai penunggang dan pembonceng motosikal berada berhampiran lori yang membawa tong gas.

"Sehingga jam 1.00 pagi, semua laluan menghala Kuala Lumpur telah ditutup sepenuhnya bagi kerja pengalihan dan pembersihan di lokasi kemalangan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kesemua mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti.