BAZAR KARAT JEMPOL CURI TUMPUAN PENGUNJUNG

Isnin, 27 Mei 2019

Oleh: Nisa Ardila

JEMPOL: Bermula dengan hanya menjual 20 kipas angin terpakai, tiga sahabat kini mempelbagaikan barangan dijual sehingga lokasi perniagaan mereka mendapat jolokan Bazar Karat Jempol.

Ku Mohd Khairulnizam Ku Md Ahir, 43; Syahazlan Md Shah, 39, dan Mohd Haidil Mohamad, 39, menjadikan medan terbuka di Bandar Seri Jempol, di sini, sebagai lokasi perniagaan sejak Jun tahun lalu.

Berbekalkan modal RM500, kata Ku Mohd Khairulnizam, mereka tidak menyangka bahawa 20 kipas angin terpakai pelbagai jenama yang dijual mendapat sambutan menggalakkan.

"Kami bermula pada bulan Ramadan tahun itu. Sepanjang dua hari jualannya memang cukup laris, menyebabkan kami sepakat untuk meneruskan perniagaan ini.

"Kami akui, ramai yang mencari barang terpakai berikutan dijual pada harga yang murah selain mempunyai tempoh jaminan kerosakan selama sebulan," katanya.

Justeru, mereka seterusnya mengeluarkan RM1,000 sebagai modal untuk membeli lebih banyak barang terpakai antaranya kereta sorong bayi, kelengkapan dapur dan peralatan pertukangan.

Ku Mohd Khairulnizam berkata, respons dalam kalangan pelanggan amat positif sehinggakan mereka diminta untuk mencari dan menjual lebih banyak barang terpakai.

"Perniagaan ini bermula pada petang Jumaat sehingga petang Ahad saja, memandangkan kami mempunyai komitmen pekerjaan lain.

"Tapi sepanjang bulan puasa, kami beroperasi 24 jam. Kami bertiga bergilir-gilir kendalikan perniagaan ini," katanya.

NS Daily difahamkan, barangan terpakai yang dijual itu diperoleh dari pemborong di sekitar Kuala Lumpur, Batu Pahat dan Rengit, Johor.

Selain itu kata Syahazlan, kelengkapan rumah seperti perabot, peti sejuk dan mesin basuh turut dijual di sini dan kesemuanya dari jenama terkenal.

"Perabot terpakai yang kami tawarkan pula terdiri daripada kayu jati, nyatoh dan pain yang sememangnya terkenal dengan ketahanannya.

"Kami pilih barang-barang tersebut, dengan tujuan untuk mengawal kualitinya. Sebab kami tak mahu jual barangan terpakai sembarangan. 

"Itu cara kami kerana mahu pembeli berpuas hati. Maklumlah, pembeli yang datang bukan hanya dari kawasan sekitar tapi juga dari luar Jempol," katanya.

Antara barangan terpakai yang dijual oleh mereka bertiga di Bazar Karat Jempol.