BOMBA PATAHKAN CUBAAN BUNUH DIRI

Khamis, 26 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

1/3

SEREMBAN: "Jangan rapat! Kalau tak, aku terjun!" ugut seorang lelaki kepada anggota bomba yang cuba mendekatinya.

Namun, pegawai bomba terbabit tetap tenang dan terus memberanikan diri untuk menghampiri lelaki berusia 27 tahun itu.

Menggunakan pendekatan psikologi, dia berusaha memujuk lelaki berkenaan supaya membatalkan niat untuk membunuh diri.

Pada masa sama, dia cuba melengahkan masa agar rakan setugas dan pihak polis dapat membuat persediaan.

Tatkala jaraknya dengan lelaki itu hanya berbaki kira-kira tiga hingga empat meter, dia segera memberi isyarat.

Tanpa berlengah, rakan setugas dan pihak polis terus menarik kaki individu terbabit ke bawah.

Sambil itu, dua anggota bomba di atas Ariel Ladder Platform (ALP) tetap berwaspada untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Tidak sampai 10 minit, operasi menyelamat selesai dan lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

Demikian detik cemas dihadapi Pegawai Bomba Kanan, Mohd Syazwan Haji Saidi bersama rakan setugas, Pegawai Bomba Kanan, Harzizi Haji Hashim.

Insiden itu berlaku di tingkat tiga, kawasan meletak kenderaan bahagian bumbung di kompleks membeli-belah AEON Mall, Seremban 2, di sini, sekitar jam 3.15 petang tadi.

Menurut Mohd Syazwan, pertikaman lidah dipercayai menjadi punca lelaki terbabit hilang kewarasan.

"Si isteri beritahu pada kami, suaminya bertengkar dengan ibu bapanya di rumah ketika makan tengah hari.

"Akibatnya, dia terus keluar. Kira-kira 20 minit kemudian, dia ambil keputusan nak bunuh diri. Tapi sebelum terjun, dia sempat hubungi isterinya.

"Berdasarkan maklumat daripada ibu bapanya pula, difahamkan anak mereka sering berhalusinasi sejak beberapa hari lalu," katanya.

Mengulas lanjut, kata Mohd Syazwan, kejadian itu disedari oleh seorang pegawai keselamatan yang sedang membuat rondaan di aras tanah.

"Pegawai keselamatan itu ternampak ada kelibat lelaki berdiri atas tembok, di tingkat tiga.

"Dia terus maklumkan pada Pegawai AEON Mall yang bertugas dan seterusnya menghubungi bomba.

"Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 terlibat dalam operasi ini," katanya.