169 PESERTA SERTAI BENGKEL PEMBUATAN TANJAK DAN TENGKOLOK

Isnin, 26 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

SEREMBAN: Seramai 169 peserta menyertai bengkel pembuatan tanjak dan tengkolok termasuk dari luar negara seperti Jepun; Singapura dan Indonesia, dalam usaha memelihara warisan budaya negara ini.

Presiden Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia, Dato' Nazri Kamal berkata, bengkel julung kali diadakan itu bagi memupuk minat masyarakat terutamanya golongan muda dalam membudayakan pemakaian tanjak dan tengkolok.

"(Bengkel) ini dapat tingkatkan pemahaman masyarakat, terutamanya orang muda tentang tanjak dan tengkolok dari segi konsep; jenis dan cara-cara menghasilkan busana ini. Pembuatan busana ini juga dapat bantu jana pendapatan..
 

"Kita nak didik mereka (golongan muda) mengenai warisan supaya ia tak dilupakan dan (akan) tetap diteruskan kepada generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NS Daily selepas Majlis Penutup Bengkel Pembuatan Tanjak dan Tengkolok di Bazar MAINS, di sini, semalam.

Perasmian telah disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon.

Sementara itu, Nicole berkata, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan program seperti ini dilaksanakan sebagai usaha mendalami dan mempelajari budaya serta warisan Melayu.

"(Bengkel) ini mesti diteruskan kepada generasi muda bukan saja Melayu, kaum lain (juga) supaya mereka faham apa itu Malaysia. 

"Jadi orang Malaysia ini bukan saja nak mendukung budaya sendiri, (kita) mesti dukung budaya kaum yang lain. Itulah keunikan kita," katanya.

Seorang peserta yang merupakan juruteknik eletrik, Muhammad Salleh Mohamed Zain, 31, berkata, penganjuran bengkel berkenaan harus diteruskan supaya warisan ini tidak menjadi sesuatu yang asing dalam kalangan generasi muda.

"Kita bukan saja belajar cara buat tanjak, tapi lebih penting sejarah pasal tanjak. Biasanya mesej yang disampaikan melalui pemakaian tanjak," katanya.

 

Bengkel berlangsung pada 24 dan 25 Ogos lalu merupakan anjuran Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan bersama Persatuan Peniaga Bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Seremban.