TRADISI PEMBERIAN KASIH SAYANG SEMPENA RAMADAN

Ahad, 26 Mei 2019

Oleh: Nisa Ardila

KUALA PILAH: Seramai 50 individu terdiri daripada Datuk Adat dan Ibu Soko menerima  wang saguhati yang turut dikenali sebagai pemberian kasih sayang.

Pemberian itu disampaikan Undang Luak Johol sempena program berbuka puasa malam ke-20 Ramadan di Balai Undang Luak Johol, di sini, Jumaat lalu.

Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Haji Muhammed Abdullah berkata, tradisi itu telah diamalkan sejak seratus tahun lalu.

"Ia melambangkan semangat kekitaan dan kasih sayang antara pemimpin (Undang Luak Johol) dengan Datuk-Datuk Adat.

“Wang diberikan ini merupakan wang adat dan sudah semestinya disampaikan dalam satu program adat setiap malam ke-20 Ramadan, yang telah mula diamalkan sejak pemerintahan terdahulu," katanya pada program itu.

Difahamkan, program berbuka puasa pada malam ke-20 Ramadan ini merupakan satu acara adat yang turut dilaksanakan serentak di seluruh Negeri Sembilan termasuk Istana Seri Menanti; Balai Undang Sungai Ujong; Balai Undang Rembau; Balai Undang Jelebu dan Balai Tunku Besar Tampin.

Antara penerima pemberian kasih sayang ini adalah Datuk Lembaga; Buapak Kepada Datuk Lembaga; Tua Suku; Juak-Juak; Pawang; Ibu Waris dan Ibu Soko.

Menerusi program ini katanya, rakyat jelata termasuk Datuk-Datuk Adat dan Ibu Soko serta pemimpin setempat turut dijemput untuk berbuka puasa bersama-sama di Balai Undang.

“Jemputan adalah terbuka dan tiada kad undangan. Ini sebagai perlambangan bahawa rakyat bebas untuk bertemu dengan pemimpin mereka sambil berbuka puasa bersama," katanya.

Pada majlis sama, Muhammed turut menyampaikan sumbangan kewangan dari Baitulmal kepada 16 buah masjid dan sembilan buah surau di bawah naungan Luak Johol.