PADAH SIMPAN DAN JUAL GARI

Ahad, 26 Mei 2019

Oleh: Nisa Ardila

KUALA PILAH: Polis menahan dua lelaki berusia lingkungan 20an secara berasingan, kerana disyaki memiliki gari secara haram.

Tindakan itu diambil ekoran berita yang tular dalam laman media sosial Facebook, berhubung penjualan gari untuk tujuan mengunci motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Haslah Bachok berkata, tangkapan pertama dibuat di hadapan sebuah pasar raya di Melang, di sini, Rabu lalu sekitar jam 6 petang.

"Individu terbabit yang berusia 21 tahun, dipercayai bertindak sebagai 'runner'.

"Semasa ditahan, terdapat satu bungkusan plastik berisi 20 gari berserta beg kecil dan kunci bersamanya," katanya.

Susulan itu katanya, polis menahan seorang lagi individu berusia 24 tahun yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, tengah hari Khamis lalu.

"Individu kedua pula dipercayai bertindak sebagai jurujual," katanya ketika mengesahkan laporan tersebut. 

Berdasarkan siasatan awal, kata Haslah, jurujual berkenaan telah direkrut oleh seorang lelaki bernama Mubarak untuk menjalankan urusan jualan gari melalui sebuah syarikat yang beroperasi di Perlis. 

"Jurujual itu menjadi ejen kepada syarikat terbabit sejak dua bulan lalu. Dia membuat bayaran sebanyak RM2,500 untuk menjadi ejen dan diberi stok sebanyak 60 unit gari," katanya.

Menurutnya, setiap gari dijual pada harga RM120 kepada pelanggan dan komisen diterima sebanyak RM20 bagi setiap unit.

"Kemudian pihak jurujual menggunakan khidmat 'runner', dengan bayaran RM100 bagi setiap penghantaran," katanya.

Tegas Haslah, tindakan orang awam menyimpan gari atau sebarang peralatan polis yang lain merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967.

"Kedua-dua individu berkenaan seterusnya direman selama empat hari bermula Jumaat lalu, bagi melengkapkan siasatan," katanya.