JKDM, PDRM REKOD RAMPASAN DADAH TERBESAR

Jumaat, 23 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/4

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakar sejarah tersendiri apabila merekodkan jumlah rampasan dadah terbesar menerusi dua operasi berasingan yang dijalankan di Selangor pada 18 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato' Seri Paddy Abdul Halim berkata, mereka berjaya merampas serbuk putih disyaki dadah jenis ketamine dengan anggaran berat 467 kilogram dan beberapa bungkusan mengandungi serbuk putih disyaki kokain dengan anggaran berat 3,200 kilogram.


 

Menurutnya, anggaran nilai keseluruhan rampasan yang terhasil daripada Operasi Ops Soda melibatkan sepasukan anggota Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat; Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman; Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) dan Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah itu berjumlah RM676 juta.

Tambahnya lagi, siasatan awal menunjukkan bahawa kesemua dadah yang dirampas disyaki untuk dieksport semula ke negara ketiga dan Malaysia dipercayai sekadar menjadi transit.

"Serbuah telah dibuat di sebuah premis kedai di Puncak Alam, sekitar jam 4.30 petang. Hasil pemeriksaan kita menjumpai sebelas guni putih Light Soda Ash yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamine.

"Guni-guni tersebut dibawa masuk dari Pakistan dan tiba di Pelabuhan Klang, sebelum dihantar ke premis itu. Pada masa sama, kita turut menahan empat lelaki warga tempatan dan sembilan lelaki warga asing," katanya.

Berdasarkan hasil soal siasat terhadap suspek utama, katanya, telah membawa kepada serbuan kedua di sebuah lagi premis di Seksyen U5, Shah Alam pada hari yang sama sekitar jam 9.20 malam.

"Pasukan telah menjumpai beberapa bungkusan mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain di tingkat atas. Siasatan awal mendapati, bungkusan itu dibawa masuk dari Ecuador dan tiba di Pelabuhan Klang, sebelum dihantar ke premis itu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai suspek yang ditahan, kata beliau, kesemua lelaki yang berusia lingkungan 27 hingga 56 tahun itu direman sehingga 30 Ogos ini.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan tak kurang 15 sebatan.

"Sehubungan itu, orang ramai boleh salurkan maklumat dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Talian Hotline Polis 012-2087222, sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyeludupan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media JKDM di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Kampung Jijan Tengah, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Dato' Mohd Khalil Kader Mohd.