ISTIADAT MENERANGKAN BUAPAK SUKU TIGA BATU LINGKUNGAN DATO’ PANGLIMA JAYA

Isnin, 22 Julai 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/1

KUALA PILAH: Istiadat Menerangkan Buapak Suku Tiga Batu Lingkungan Dato’ Panglima Jaya merupakan pendekatan yang diambil, bagi generasi muda mempelajari sistem Adat Perpatih diamalkan di negeri ini.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs Shamsuddin Ahmad berkata,  besar pengharapan generasi terdahulu agar lahir anak muda yang berilmu bagi terus menggalas jawatan penting dalam sistem Adat Perpatih berkenaan.

"Kita mahu perkara ini diberikan perhatian dan tunjuk ajar, menerusi bimbingan dan kekerapan kursus yang berkaitan dengan adat itu sendiri.

"Generasi muda perlu diberi galakan jitu agar lebih fokus terhadap aspek motivasi, visual bergambar dan visual video (yang disediakan).

"Tujuannya bagi memperkayakan maklumat dan didikan yang tepat," katanya selepas selesai majlis tersebut di Kampung Buyau Kiri, Seri Menanti, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama adalah Dato’ Seri Amar Diraja, Nor Azmi Hashim.

Shamsuddin berkata, pihaknya berharap pendekatan itu mampu memberi impak besar dan berkesan kepada mereka yang terlibat dalam istiadat berkenaan pada masa depan.

Sementara itu katanya, Istiadat Menerangkan Buapak Suku Tiga Batu Lingkungan ini juga merupakan antara program Adat Lingkungan di bawah dana memperkasakan adat.

"Sebelum ini, program yang telah dilaksanakan adalah Bengkel Adat Lingkungan dan Suai Kenal Ibu Soko pada 15 Jun lalu di Galeri Seri Menanti, Muzium Diraja Seri Menanti.

"Selepas ini, akan ada banyak lagi program adat dilaksanakan oleh Adat Lingkungan bersama Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Kita juga buat pendokumentasian sepanjang istiadat ini berlangsung," katanya.

Untuk rekod, jawatan Dato’ Panglima Jaya ini disandang oleh Jaafar Yusof, 58, pesara tentera dari Suku Tiga Batu Lingkungan.

Beliau dilantik bagi menggantikan penyandang jawatan sebelumnya iaitu Allahyarham Haji Sidek Jalun yang meninggal dunia pada 9 Jun 2016.