DIHUKUM PENJARA LIMA TAHUN ANGKARA DUIT PALSU

Sabtu, 18 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/1

KUALA PILAH : Seorang wanita dihukum penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, semalam, gara-gara menggunakan duit palsu berjumlah RM200 pada tahun lepas.

Hakim, Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas mendengar dan menerima pengakuan bersalah Masfadila Senin, 34, membabitkan kedua-dua pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara selama lima tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalaninya secara serentak.

Tertuduh telah didapati menggunakan sekeping not RM100 palsu yang bernombor siri BF4118883 di sebuah kedai gajet di Bahau pada 24 September 2018, sekitar jam 9 malam.

Kesalahan kedua pula dilakukan di sebuah bengkel motosikal di Taman Cempaka, Bahau pada 29 September 2019, sekitar jam 3.10 petang.

Sama seperti pertuduhan pertama, Masfadila turut didapati menggunakan sekeping not RM100 palsu yang bernombor siri CD9788864  di lokasi berkenaan.

Sehubungan itu, perbuatan tertuduh merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sebelum itu, tertuduh yang merupakan penjawat awam telah merayu kepada mahkamah untuk keringanan hukuman.

Alasan diberikan untuk pertimbangan mahkamah adalah, dia perlu menanggung seorang anak lelaki yang masih bersekolah.    

 

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli manakala tertuduh tidak diwakili peguam semasa prosiding dijalankan.