JANGAN SOROK PENAGIH DAN PENGEDAR DADAH DI RUMAH

Ahad, 21 Julai 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/2

JEMPOL: Polis menggesa orang ramai agar tidak menyorokkan maklumat sekiranya mengetahui ada ahli keluarga yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
 
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, kerjasama itu penting bagi membendung kegiatan itu, selain memelihara keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

"Keluarga tak patut sorok pengedar atau pun penagih dadah di rumah. Itu boleh mengundang pelbagai risiko jenayah antaranya kes pukul, susulan keluarga enggan beri wang untuk beli dadah.

"Ambil tahu aktiviti ahli keluarga supaya tak terjebak dengan jenayah sedemikian, yang boleh dikenakan tindakan di bawah akta berkaitan dadah," katanya.

Ditanya mengenai penyalahgunaan dadah di kawasan Felda pula, Muhd Nurhishamuddin menjelaskan, enam individu yang merupakan tokan dadah berjaya ditahan polis dalam tempoh Januari hingga Jun.

"Penahanan lelaki berumur antara 30 hingga 40 tahun itu di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas) 1995.
 
"Manakala berdasarkan rekod 2018, seramai 396 warga Felda telah ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"Daripada jumlah itu, 161 ditangkap bagi kesalahan bekalan dan memiliki dadah. 235 lagi ditangkap atas kesalahan menggunakan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, di mana ujian urin mereka didapati positif dadah," katanya.

Muhd Nurhishamuddin berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun 2019, seramai 182 warga Felda ditangkap juga atas kesalahan berkaitan dadah.

Menurut beliau, 57 daripadanya ditahan atas kesalahan bekalan dan memiliki dadah manakala 125 lagi ditahan atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 iaitu urin positif dadah.

"Daerah Jempol mempunyai 36 gugusan Felda berpenghuni dan kesemua penempatan Felda ini dilihat menghadapi risiko aktiviti dadah yang tinggi dan perlu dibanteras," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Jempol di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini, tempoh hari.

Terdahulu, Muhd Nurhishamuddin memakaikan pangkat kepada 13 anggota polis IPD Jempol.

Dua anggota daripada pangkat Sarjan kepada Sarjan Mejar dan selebihnya daripada pangkat Koperal kepada Sarjan.