KHIDMAT AMBIL GAMBAR PASPORT, LESEN SECARA BERGERAK

Oleh: Nisa Ardila      Ahad, 21 April 2019 

JEMPOL : Hanya satu panggilan diperlukan sama ada menerusi talian telefon atau aplikasi WhatsApp, maka khidmat mengambil gambar berukuran pasport dan lesen sedia ke lokasi anda.

Operasi kedai gambar bergerak ini telah wujud sejak dua tahun lalu dan tertumpu di Pusat Komuniti Desa (PKD) Serting Ilir, Jalan Bahau.

Menurut Pengurus PKD berkenaan, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, ilham untuk menawarkan perkhidmatan itu timbul ketika mengambil gambar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di 'White Studio'.

"Kemudian ada yang bertanya tentang gambar berukuran passport. Maka dari situ tercetusnya idea untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut.

"Kami buat tinjauan harga mesin pencetak yang sesuai di pasaran, manakala kaedah suntingan pula di Google.

"Pada masa sama, terfikir pula perkhidmatan dari pintu ke pintu susulan dapat memudahkan urusan pelanggan terutama dalam keadaan kecemasan," katanya ketika ditemui NS Daily.

Tambahnya, ketika ini perkhidmatan berkenaan menggunakan kereta dan hanya bermotosikal sekiranya lokasi pelanggan di sekitar kawasan kampung.

Nurulazma turut sempat berkongsi pengalaman meredah dingin malam, demi membantu pelanggan menyiapkan gambar berukuran pasport untuk digunakan bagi temuduga jam 8 pagi.

"Masa tu sekitar jam 12.30 tengah malam. Baru nak lelapkan mata, tiba-tiba ada pelanggan telefon meminta bantuan.

"Maka digagahkan juga diri untuk bangun atas niat nak mempermudahkan urusan orang lain. Sebab saya yakin, Allah akan mudahkan urusan kita pula nanti," katanya.

Menurutnya, pihaknya menawarkan perkhidmatan itu untuk pelanggan sekitar Pekan Batu Kikir, Bahau dan sepanjang laluan Bahau-Batu Kikir.

"Selain di PKD Serting Ilir, ada juga PKD lain yang melaksanakannya di luar Negeri Sembilan. Tapi perkhidmatannya cuma di pejabat dan tak macam ini (secara bergerak).

"Kami juga sediakan perkhidmatan waktu cuti umum. Nak lebih mudah, pelanggan boleh beri gambar sendiri melalui WhatsApp.

"Tapi gambar berkenaan mestilah tak pecah. Harga ditetapkan pun ada beza sikit berbanding kami yang ambil. Biasanya enam keping RM10, tapi yang ini hanya RM6," katanya.

Berdasarkan pengalaman sejak menawarkan perkhidmatan ini, kata Nurulazma, lazimnya pelanggan tidak berkira soal bayaran ditetapkan.

"Walaupun harga yang perlu dibayar cuma RM6, tapi pelanggan tetap nak bayar RM10. Bakinya pula, mereka suruh kami simpan.

"Sebenarnya tak rugi bayar RM10, sebab masih berbaloi. Kalau di kedai sekitar pekan, harga untuk enam keping gambar cecah RM21.

"Itu belum termasuk lagi dengan kos minyak, masa dan tenaga untuk ke pekan," katanya menamatkan perbualan.

Nurulazma sedang menyiapkan gambar berukuran pasport pelanggan.